Assalamualaikum w.b.t...
Kekuatan jiwa seorang mukmin itu bergantung pada pengamalannya seharian. Kesedaran yang menggunung tentang hakikat kejadian diri akan membuat diri seseorang, jelas tentang keberadaanya di dunia fana ini.
Firman ALLAH S.W.T: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepadaKU” (Al-zariyaat ayat: 56).
Fikrah yang jelas membuat hidup lebih terarah. Seperti mana sebuah pelayaran, sudah pasti ada hala tujunya. Begitulah diibaratkan kehidupan kita sebagai hamba ALLAH di dunia yang fana ini. Pelayaran kita telah bermula sejak dilahirkan lagi. Pelayaran yang perlu dikaut sebanyaknya sebagai bekalan untuk disimpan dan digunakan pada penghujung pelayaran.
Sudah pasti dengan persinggahan yang sementara membuat hati kita terpaut pada yang di namakan keindahan. Tidaklah salah mencintai keindahan dan kecantikan kerana ALLAH itu cantik dan DIA suka akan kecantikan. Jadi perlulah berwaspada dengan keindahan yang di jumpai itu, kerana ia bukan milik kekal kita. Yang menjadi pemiliknya ialah ALLAH S.W.T.
“Kehidupan dunia itu tidak lain kecuali permainan dan hiburan sedang kampung akhirat itulah hidup yang sebenar, andai mereka mengetahui.” (Al-Ankabut:64)
Carilah sebanyak yang mungkin peluang yang ada, kautlah sebanyak mana yang boleh bekalan kita untuk menuju ke negeri abadi. Tanpa bekalan itu, ternyata sia-sialah hidup manusia itu. Kesempatan yang ada perlulah di gunakan sebaik-baiknya. Jadikan peluang keemasan itu satu "reward" buat kita semua.
Kata-kata saidana Umar r.a “Hisablah dirimu sebelum dirimu dihisab” Melalui kata-kata itu, capailah maksud bahawa hidup ini perlu di muhasabah setiap masa, usah menunggu hari esok. Bersegeralah dalam kebaikan.
Hisablah diri tentang apa yang telah dibuat sepanjang umurnya, sepanjang hari dan malamnya. Ini kerana di akhirat nanti kita semua akan di tanya tentang waktu kita yang telah di habiskan. Menjalankan sesuatu pekerjaan perlulah diingatkan dengan ketaqwaan , keikhlasan dan keimanan.
Hiasi ia dengan sifat mahmudah, tawaddu’. Renungkan dahulu sebelum melakukan sesuatu itu, bahawa adakah ALLAH redha buat perkara ini? Betulkah ianya syar’ie? Adakah ia dituntut dalam Islam?
“Tidak ada daun yang gugur yang tidak di ketahui ALLAH…”(Al-An'am:59)
Curahkan ilmu dalam segenap hal pada yang tidak mengetahui, jangan menghina pada yang tidak mengetahui, kerana hati sebegitu adalah lebih sakit daripada yang tidak mngetahui. Hiasi sikap dengan kata berhikmah. Jadilah seperti pohon rendang yang berbuah, apabila di baling batu, di berikan buah sebagai balasan.
Letakkan ALLAH sebagai tempat mengadu yang paling tinggi. DIA merupakan sebaik-baik tempat mengadu. Usah di bimbang ALLAH tidak memakbulkan doa kita, kerana sesungguhnya ALLAH Maha Memakbulkan segala doa. Cumanya sama ada cepat atau lambat.
Firman ALLAH S.W.T: “Berdoalah nescaya akan AKU kabulkan.”
Sesungguhnya orang-orang beriman itu apabila di sebut nama ALLAH, maka bergetarlah hatinya, apabila di bacakan ayat-ayat ALLAH, maka makin kuat(iman) dan kepada ALLAHlah mereka bertawakkal. Kuatkan cinta dan keyakinan padaNYA, usah gusar untuk bercinta denganNYA, percaya dan yakinlah, tidak akan siapa yang kecewa dengan cintaNYA. Dan ingatlah kesudahan bagi mukmin itu amat indah, tiada apa yang dapat di bandingkan dengan nikmat itu. Dunia sebagai penjara bagi mukmin, tapi pada orang kafir sebagai syurga.
Oleh itu rantaikan diri kita dengan keimanan, ketaatan dan ketaqwaan kepada ALLAH S.W.T. Moga-moga kesudahan yang baik adalah milik kita semua. Amin.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga(taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air(yang mengalir)." (Al-Hijr:45)
Ya ALLAH letakkan dunia ini di tangan kami, bukan di hati kami. Sama-sama doakan moga di tetapkan iman. wallahua'alam
No comments:
Post a Comment