Salam Perjuangan..
Salam Sanjungan Bangsa..
Salam Satu Malaysia..
Kebahagian hidup adalah merupakan matlamat utama kehidupan manusia didunia ini. Ia tidak kira bangsa, agama, ataupun budaya, apabila ditanya apakah yang kamu mahu didalam kehidupan ini? pasti jawapannya tetap sama adalah untuk hidup bahagia. Tetapi, bagaimanakan untuk mencari kebahagiaan hidup? Adakah anda bahagia sekarang?
Definisi- Setiap orang mempunyai definisi yang berlainan. Anda perlu mengetahui terlebih dahulu apakah makna kebahagiaan dalam hidup anda. Ini adalah amat penting kerana ia akan mempengaruhi keputusan anda yang lain. Sebagai contoh, anda rasakan keluarga adalah kebahagian utama didalam kehidupan. Kemudian anda mendapat tawaran kerja yang memaksa anda berjauhan dengan keluarga untuk satu jangka masa yang panjang. Sudah pasti anda mengetahui keputusan mana yang perlu dilakukan.
Nikmati kebahagiaan- Manusia hanya mampu untuk merancang tetapi tuhan yang menentukan segalanya. Mungkin anda menginginkan sesuatu untuk berasa bahagia tetapi masih tidak tercapai. Teruskan usaha anda dan jangan sesekali berputus asa kerana kejayaan pasti milik anda. Tetapi dalam masa yang sama, nikmatilah kebahagian yang anda sedang lalui sekarang, kerana mungkin anda tidak akan dapat mengembalikannya apabila anda sudah berjaya.
Lakukan apa yang anda ingin lakukan- Cara ini adalah paling baik untuk memberikan inspirasi kepada seseorang melakukan sesuatu yang diluar jangkaan mereka. Sekiranya anda betul-betul yakin terhadap apa yang dilakukan dapat memberikan kebahagian, terus lakukannya dengan berrsungguh-sungguh. Pasti anda tidak akan sesekali menyesal terhadap pilihan yang telah dibuat. Selain daripada itu, cara ini juga dapat membantu untuk mencungkil bakat atau kreatviti seseorang ke tahap yang lebih maksimum.
Kebahagian percuma- Ramai yang memfokuskan kebahagiaan mereka terhadap wang. Tetapi hakikatnya wang sebenarnya tidak mampu untuk membeli kebahagiaan seseorang. Wang hanya merupakan satu alat yang membantu anda untuk membuat pilihan. Lebih banyak wang, lebih banyak pilihan yang boleh anda lakukan, dan tidak pernah sesekalipun orang yang kaya menyatakan bahawa apabila mereka semakin banyak wang, mereka semakin bahagia. Adalah lebih baik anda memfokuskan terhadap kebahagian percuma seperti perhubungan, ketawa, masa untuk bermain dengan anak, dan sebagainya yang mana ia langsung tidak melibatkan apa-apa kos.
Cintai seseorang- Seseorang yang berjaya untuk memperuntukkan masa, komitmen dan perhatian didalam hubungan adalah merupakan orang paling bahagia didunia ini. Jangan terlalu sibuk dengan pekerjaan harian sehingga mengabaikan perhubungan, kerana anda akan terlepas peluang untuk menikmati kebahagiaan hidup. Hanya dengan mencintai seseorang dapat membantu anda hidup bahagia.
Menjadi pemaaf- Hanya dengan memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda sebenarnya dapat membahagiakan lagi kehidupan. Ini adalah kerana apabila anda memaafkan seseorang, anda sebenarnya telah menanggalkan satu beban yang selama ini anda pikul kemana saja anda pergi. Semakin ringan bebanan bermakna semakin selesa untuk anda melalui kehidupan.
Bersyukur- Sekiranya anda rasa bersyukur terhadap apa yang anda miliki sekarang, ia sebenarnya cara terbaik untuk melepaskan tekanan. Semakin banyak anda bersyukut semakin bahagia diri anda.
Lalui apa yang sedang anda lalui- Kenangan hanyalah merupakan satu proses untuk anda menimba pengalaman. Ia akan beredar mengikut waktu. Hanya jadikan kenangan sebagai satu imaginasi dan bukannya realiti.
P/S: Nikmatilah kebahagian terhadap apa yang anda lalui sekarang dan bukannya bergantung terhadap kenangan.
No comments:
Post a Comment