Wednesday, January 9, 2013

ILMU RANCANG: PUSAT TRANSFORMASI LUAR BANDAR (RTC)

Assalamualaikum w.b.t..
Salam Perjuangan..
Salam Satu Malaysia..

Haritu lecturer ku ada bincang pasal Pusat Transformasi Luar Bandar..Hmm..ada sikit search2 internet then dapat yg lebih jelas pasal ni..Sekadar nk kongsikan bersama untuk anda semua. RTC diilhamkan pelaksanaannya pada pertengahan tahun 2011 yang bertujuan membangunkan penduduk luar bandar. RTC yang terpilih menjadi pusat kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan dengan menggunakan pendekatan Blue Ocean Strategi, di mana pelbagai Kementerian/Jabatan/Agensi bersama-sama menggembleng tenaga dan kepakaran bagi merealisasikan hasrat membangunkan penduduk luar bandar. Idea disebalik strategi ini adalah untuk memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada dipelbagai kementerian yang terlibat untuk mencipta lonjakan dalam pembangunan luar Bandar pada kos yang rendah dan tempoh masa yang lebih singkat. Jentera kerajaan seperti Jabatan/Agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri mempunyai pejabat bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatannya. Begitu juga beberapa agensi pembiayaan dan insuran beroperasi di premis yang sama seperti TEKUN, Agrobank, Bank Simpanan Nasional, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Pihak swasta juga memainkan peranan. Pasaraya Hypermarket borong akan beroperasi di premis RTC Gopeng. Pengusaha berkenaan berkerjasama dengan usahawan tani sedia ada bagi mengedar hasil pertanian keseluruh rangkaian pasarannya di Malaysia.Setelah kira-kira setengah tahun pelaksanaan program-program di RTC, program ini akan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 18 Februari ini dan Karnival RTC akan berlangsung selama 4 hari bermula 16 Februari sehingga 19 Februari. Karnival ini akan menjadi satu program menghimpunkan penduduk-penduduk luar Bandar dan diyakini mampu mempromosikan program-program transformasi yang telah dirancang untuk golongan tersebut.
Apakah kriteria yang digunapakai dalam menentukan sesuatu premis itu dipilih sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)?
Di peringkat awal, Terminal Agribisnes Negara (TEMAN) di Gopeng, Perak dijadikan RTC dan menjadi projek perintis kepada pelaksanaan program-program transformasi luar bandar. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merupakan kementerian utama yang akan menerajui pelaksanaan program-program di bawah RTC ini di samping beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
Pemilihan sesuatu RTC itu adalah berdasarkan kemudahan yang ada bukan sahaja di premis tersebut, malahan di kawasan beradius 100km dari RTC. RTC berperanan sebagai nadi pengerak, dimana aktiviti-aktiviti dirancang dan dilaksanakan melalui RTC ini bagi kawasan liputan 100 km sekitarnya. Ia juga mengambil kira jumlah penduduk luar bandar di kawasan radius tersebut yang akan menerima faedah daripada pelaksanaan program transformasi. Pemilihan RTC yang telah lengkap sebegini membantu mengurangkan kos pembangunan program di samping penggunaan secara bersama sesuatu premis oleh pelbagai Kementerian dapat dilaksanakan.
Selain pelaksanaan program-program transformasi di RTC, beberapa mini RTC di kawasan sekitar turut dikenalpasti yang akan menjadi penyumbang kepada kelancaran program-program transformasi. Pada ketika ini, beberapa premis Medan Infodesa (MID) telah dikenalpasti dan ia akan menyokong setiap program transformasi yang dilaksanakan di RTC.

Apakah penekanan yang diberikan dalam pembangunan program-program di RTC?
Di bawah pelaksanaan program-program di RTC, sebanyak 8 inisiatif telah dikenalpasti, iaitu:
  • Inisiatif 1        – Latihan Kemahiran Kepada Penduduk Luar Bandar
  • Inisiatif 2        – Penubuhan Kios Informasi 1Malaysia
  • Inisiatif 3        – Pertanian Bernilai Tinggi
  • Inisiatif 4        – Pemprosesan Produk Agro-Makanan
  • Inisiatif 5        – Pengurusan Rantaian Bekalan Hasil Pertanian
  • Inisiatif 6        – Kerjasama Universiti
  • Inisiatif 7        – Perkhidmatan Keselamatan Makanan dan Farmaseutikal
  • Inisiatif 8        – Kemudahan Pembiayaan Kewangan Kepada Penduduk Luar                     Bandar
Pelaksanaan kelapan-lapan inisiatif ini diterajui oleh pelbagai Kementerian di samping kerjasama dan sokongan daripada lain-lain Kementerian berkaitan. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan Inisiatif 4, iaitu pemprosesan produk agro-makanan, pengusaha-pengusaha produk industri asas tani dibantu dalam pembangunan produk mereka melalui penjenamaan, pelabelan, pembungkusan dan persijilan dengan bantuan pelbagai agensi, antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), MARDI dan Jabatan Kesihatan.

Program-program di RTC antaranya melibatkan penghasilan produk-produk berasaskan pertanian. Adakah terdapat pengkhususan kepada produk-produk pertanian yang dibangunkan di bawah RTC tersebut?
Di bawah inisiatif 3, iaitu pertanian bernilai tinggi, fokus kita adalah kepada projek-projek pertanian yang dapat memberi pulangan yang tinggi. Sebagai contoh, pada ketika ini kita telah membantu membangunkan projek Taman Kekal Pengeluaran Pertanian (TKPM) Lojing, di mana pelbagai sayur-sayuran yang mendapat permintaan tinggi dihasilkan, seperti tomato dan capsicum. Selain itu, kita juga memberi fokus kepada projek pengeluaran produk tenusu dan projek ternakan Arowana yang dilihat semakin mendapat perhatian bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malahan juga untuk pasaran antarabangsa.
DI bawah inisiatif 4 pula, kita membantu dalam membangunkan produk-produk industri asas tani yang dilihat popular di Negeri Perak khususnya, seperti Putu Perak dan produk-produk yang mendapat pengikhtirafan Perak Best. Produk-produk ini menjadi trademark kepada Negeri Perak sendiri dan pemasarannya dilihat turut membantu sektor pelancongan negeri tersebut.
Kita turut memberi fokus kepada memperkukuhkan rantaian bekalan hasil pertanian melalui pelaksanaan inisiatif 5. Pelbagai Projek Ladang Kontrak diwujudkan bagi membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil pertanian mereka dan peranan ini dimainkan oleh pihak FAMA dengan kerjasama pelbagai agensi lain, antaranya Jabatan Pertanian dan pihak-pihak pembiayaan seperti TEKUN.

Bagaimana program-program di RTC dapat membantu dalam mengembangkan pemasaran produk-produk penduduk luar bandar?
Program-program di RTC lebih menjurus kepada pemberian informasi dan khidmat nasihat. Melalui program yang dijalankan, pengusaha-pengusaha diberi pendedahan sewajarnya dalam memasarkan hasil dan produk mereka bukan sahaja ke pasaran tempatan, malahan juga ke pasaran antarbangsa. Selain itu, kita membantu golongan sebegini dalam membangunkan produk mereka dari aspek pembungkusan, pelabelan, penjenamaan dan pensijilan bagi menambah keyakini orang ramai ke atas hasil dan produk yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha pertanian.

Seperti yang kita sedia maklum, rata-rata pengusaha pertanian terdiri daripada golongan yang berusia lebih 50 tahun dan bidang ini dilihat tidak menarik minat golongan muda masa kini. Bagaimanakah program-program RTC dilihat dapat membantu menarik minat golongan ini untuk menceburi bidang pertanian?
Golongan muda pada hari ini merasakan bidang pertanian tidak bersesuaian dengan jiwa mereka kerana perlu bekerja di bawah terik matahari dan melakukan kerja-kerja yang dirasakan kotor. Tapi perlu diketahui bahawa bidang pertanian sebenarnya mampu membawa pulangan yang lumayan. Oleh kerana itu, kita telah memperkenalkan Program MyAgrosis, iaitu satu program yang menggalakkan lagi golongan belia yang terdiri daripada siswa siswi institusi pengajian tinggi untuk meceburi bidang ini. Kita telah merancang untuk melibatkan peserta-peserta MyAgrosis untuk menjalankan program intership di projek-projek pertanian yang dikenal pasti di bawah RTC bagi mereka menimba ilmu dan mendapat pengalaman menjadi seorang petani. Ini sedikit sebanyak dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Sepanjang pelaksanaan program-program di RTC, apakah cabaran yang diatasi terutamanya dalam membantu mentransformasi penduduk luar bandar?
Cabaran pertama yang dirasakan adalah bagi memberi kefahaman kepada golongan sasar, iaitu penduduk luar bandar sendiri. Di awal pelaksanaan program-program RTC, kita mengalami masalah dalam menyampaikan maklumat kepada golongan sasar ini kerana mereka masih baru dengan program-program sebegini. Walau bagaimanapun, kita telah menggerakkan pelan komunikasi bagi mempromosikan dan menyampaikan informasi tentang pelaksanaan program-program RTC kepada penduduk luar bandar.
Selain itu, kita juga pernah menghadapi masalah menggembleng tenaga dan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi apabila semua pihak melihat program yang dilaksanakan ini sebagai peluang kepada mereka dalam menyampaikan perkhidmatan bagi mentransformasi penduduk luar bandar.

Apakah jaminan yang dapat diberikan dalam memastikan pelaksanaan program-program di RTC dapat berjalan dengan lancar?
Dalam merancang pelaksanaan program-program RTC, kita telah mengambil pelbagai pendekatan, antaranya mengenalpasti pihak yang benar-benar berminat dan mempunyai keupayaan dalam melibatkan diri dengan program-program RTC. Selain itu, kita turut menjalinkan kerjasama di antara pihak kerajaan, swasta dan rakyat, dalam membangunkan penduduk luar Bandar. Jalinan kerjasama ini jika dilaksanakan secara bersepadu sememangnya dapat membantu mencapai hasrat kerajaan, dimana kesan limpahan pembangunan mampu merangkumi penduduk di Perak, Pahang (Cameron Highlands), Kelantan (Lojing), dan Selangor (Hulu Bernam & Sabak Bernam).
Dengan pelaksanaan program-program RTC, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka. Ini akan membolehkan produk tersebut dapat dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya dapat menembusi pasaran eksport. Secara tidak langsung, pendapatan penduduk luar bandar akan dapat ditingkatkan dan seterusnya menghapuskan kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan secara keseluruhannya.


No comments:

Post a Comment