Thursday, August 1, 2013

PLANNER OH PLANNER: Apa itu Kebenaran Merancang?

Assalamualaikum w.b.t
Salam Satu Malaysia
Salam Sanjungan Bangsa..

KEBENARAN MERANCANG

Apa itu Kebenaran Merancang?

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), apabila seseorang itu ingin menjalankan apa-apa pemajuan, ia perlu memperolehi kebenaran merancang dari pihak Berkuasa Perancangan Tempatan. Kebenaran merancang memberi seseorang itu kebenaran dari Pihak Berkuasa Tempatan yang bertindak sebagai pihak berkuasa kawalan pemajuan, untuk menjalankan sesuatu pemajuan mengikut pelan dan syarat-syarat kebenaran yang akan menentukan, di antara lain, cadangan penjajaran, lebar dan aras jalan-jalan dan lorong-lorong belakang, cadangan ketinggian, reka bentuk, size, kegunaan bangunan, anjakan bangunan, ketumpatan / nisbah plot unit kediaman dan perdagangan atau lain-lain bangunan. Lain-lain cadangan kegunaan tanah, dan peruntukan-peruntukan utiliti kawasan lapang rekreasi, pusat komuniti, sekolah dan lain-lain kemudahan yang mana perlu, dan lain-lain syarat untuk pembangunan yang teratur.


Mengapa Kebenaran Merancang Diperlukan?

Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan adalah diberi kuasa untuk bertanggungjawab dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan serta penggunaan semua tanah dan bangunan yang terletak di dalam kawasan bidang kuasanya. Ini adalah untuk memastikan supaya semua pemajuan dan penggunaan tanah oleh seseorang individu dan pemaju-pemaju akan dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak menyebabkan masalah pencemaran dan kacauganggu, kesesakan lalulintas dan tambahan beban infrastruktur, kehilangan nilai/ ameniti, banjir dan lain-lain kesan yang tidak diingini kepada kejiranan dan persekitaran, dan juga memastikan pemajuan baru adalah pada sesuatu tahap yang baik untuk didiami. Sebelum pemberian kebenaran merancang kepada sesuatu cadangan pemajuan, Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan harus mengambilkira semua perkara yang perlu untuk perancangan yang berkesan. Ini adalah untuk memastikan cadangan pemajuan tidak menyebabkan masalah persekitaran yang tidak diingini, termasuk kesan sosial dan ekonomi, seterusnya mematuhi piawaian dan garispanduan perancangan. Khususnya Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu mengambilkira peruntukan-peruntukan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang telah disediakan, sedang disediakan atau akan disediakan (Seksyen 22), Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu juga menyemak agar cadangan pemajuan mempunyai akses yang baik dan mematuhi semua syarat dan batasan hakmilik tanah, begitu juga dengan lain-lain kehendak perundangan. 

Bila Kebenaran Merancang Diperlukan?

Anda perlu memohon dan diberi kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan sebelum anda boleh menjalankan apa-apa "pemajuan". Definisi "pemajuan" mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa adalah luas dan meliputi:-

1. Perobohan bangunan
2. Pembinaan bangunan
3. Pindaan besar terhadap bangunan
4. Perubahan matan dalam penggunaan tanah atau bangunan
5. Kerja-kerja kejuruteraan, termasuk pembentukan tanah dan pembinaan jalan
6. Kerja-kerja perlombongan
7. Kerja-kerja perindustrian
8. Memecah sempadan dan pencantuman tanah


KLIK SINI untuk Iklan Raya terhebat!

No comments:

Post a Comment