Sunday, December 23, 2012

ILMU RANCANG: JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI


JAWATANKUASA PERANCANG NEGERI



Apabila Akta PBD 1976 diterimapakai di sesebuah negeri, suatu Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) hendaklah ditubuhkan . JPN mengandungi anggota-anggota berikut:
  1. Pengerusi (Mentri Besar atau Ketua Menteri negeri tertentu);
  2. Timbalan Pengerusi (seorang Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, EXCO yang dilantik oleh PBN);
  3. Setiausaha Kerajaan Negeri;
  4. Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri (yang menjadi Setiausaha JPN);
  5. Pengarah Tanah dan Galian Negeri;
  6. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri atau pegawai yang bertanggungjawab jika tiada jawatan pengarah negeri;
  7. Pengarah Kerja Raya Negeri;
  8. Penasihat Undang-Undang Negeri;
  9. Pegawai Kewangan Negeri;
  10. Pegawai Kemajuan Negeri;
  11. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri;
  12. tidak lebih dari 4 ahli lain yang dilantik oleh PBN.
Ahli-ahli (ix) hingga (xi) telah ditambahkan melalui Akta Perancang Bandar dan Desa (Pindaan) 1995. Sekurang-kurangnya 2 Ahli JPN adalah Ahli EXCO, iaitu ahli politik yang telah bertanding dan menang dalam pilihanraya umum. Sembilan Ahli JPN adalah pegawai kerajaan. Empat ahli lain boleh dilantik atas budibicara PBN. Jelaslah bahawa keanggotaan JPN beratsebelah kepada pegawai-pegawai perkhidmatan awam peringkat negeri. Akta PBD 1976 tidak menyatakan bagaimana JPN patut bertindak atau membuat keputusan. Andaiannya ialah setiap ahli mempunyai kuasa yang sama dan mengikut amalan biasa JPN akan membuat keputusan melalui konsensus atau secara mengundi. Sebagai perbandingan, Pengerusi Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta PBD 1976 mempunyai kuasa luarbiasa dan boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan pendapat ahli-ahli lain.

Bidang kuasa setiap JPN terhad kepada kawasan negeri masing-masing. Jelaslah wujudnya suatu kuasa berasingan untuk perancangan diperingkat negeri. Perhatikan bahawa cadangan asal dalam draf Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 ialah penubuhan suatu Pihak Berkuasa Perancangan Negeri dengan Pengerusi yang tidak semestinya Menteri Besar atau Ketua Menteri.. Secara bandingan, kuasa perancangan di peringkat tempatan telah dikekalkan dengan pihak berkuasa tempatan .

No comments:

Post a Comment