Sunday, December 23, 2012

ILMU RANCANG:Pihak Berkuasa Negeri (PBN)


PIHAK BERKUASA NEGERI

Di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, perkara-perkara berkenaan dengan tanah disenaraikan dalam Senarai Negeri. Ini bermakna kerajaan negeri atau lebih tetap lagi, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai kuasa terhadap segala urusan berkenaan dengan tanah di negeri masing-masing termasuk pemilikan semua tanah yang belum diberi hakmilik, pemberian hakmilik, urusan jual-beli, pengambilan tanah untuk kegunaan awam dan sumber-sumber tanah. Kerajaan atau jabatan persekutuan yang ingin melaksanakan sebarang kawalan terhadap kegunaan tanah perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu. Misalnya, Peguam Negara telah menasihati Jabatan Alam Sekitar bahawa ia tidak boleh laksanakan kehendak untuk diadakan kajian impak alam sekitar (EIA) terhadap pembangunan di tanah bukit kerana perkara ini menyentuh bidangkuasa kerajaan negeri.

Perkara berkenaan dengan perancangan bandar pula adalah dalam Senarai Bersama, Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhak menjalankan aktiviti perancangan bandar. Walau bagaimanapun, oleh kerana perancangan bandar semestinya dijalankan di atas tanah, maka segala usaha kerajaan persekutuan untuk merancang hendaklah mendapat restu kerajaan negeri. Misalnya, perancangan dan pembangunan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan telah disahkan dengan suatu perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor 

Di bawah Akta PBD 1976, PBN merupakan pihak berkuasa yang tertinggi sekali dalam hal ehwal perancangan bandar di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negeri masing-masing. S. 3 Akta ini memperuntukkan bahawa:
  • PBN bertanggungjawab bagi dasar am berkenaan dengan perancangan pemajuan dan penggunaan semua tanah dan bangunan;
  • PBN boleh memberi arahan kepada Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT); dan
  • JPN dan PBPT hendaklah menguatkuasakan arahan PBN.
Kelulusan sesuatu draf rancangan struktur oleh JPN juga perlu mendapat persetujuan PBN (s. 10(6)). Jika JPN tidak membuat sebarang keputusan enam bulan selepas sesuatu draf rancangan struktur dikemukakan kepadanya, PBPT boleh rujuk draf rancangan struktur terus kepada PBN untuk pertimbangan (s. 10(5) selepas Pindaan 1995).

PBN juga memegang kuasa untuk menentukan bila, bahagian apa dan kawasan mana yang akan menerimapakai Akta PBD 1976. Mengikut perundangan Malaysia, PBN ialah "ruler-in-council". Maksudnya ialah kuasa diletak di tangan Yang DiPertua atau Sultan atau Raja Negeri tetapi kuasa ini hanya diguna dengan perakuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). MMKN pula dipengerusikan oleh Ketua Menteri atau Menteri Besar yang juga pengerusi JPN.

No comments:

Post a Comment