Monday, December 24, 2012

ILMU RANCANG:Peranan Pihak Berkuasa Negeri Dalam Permohonan Kebenaran Merancang


Peranan Pihak Berkuasa Negeri Dalam Permohonan Kebenaran Merancang

Akta perancangan Bandar dan Desa 1976 juga membolehkan Pihak Berkuasa Negeri mengadakan kaedah-kaedah bagi maksud memperuntukan kelas-kelas penggunaan tanah dan bangunan atau bahagian-bahagiannya.Secara amnya Pihak Berkuasa Negeri yang akan meluluskan pembangunan khususnya diperingkat negeri. Terdapat beberapa prosedur yang terlibat dalam kelulusan pembangunan tanah. Prosedur ini adalah kombinasi peruntukan di dalam Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang biasa digunakan oleh negeri-negeri di semenanjung malaysia kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Berbeza dengan wilayah persekutuan ini mereka menggunakan peruntukan akta masing-masing iaitu Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 276) dan Akta Perbadanan Putrajaya 1995 (Akta 536). Jadi bagi mereka yang mengemukan permohonan dalam mendapatkan kebenaran merancang, mereka perlu melalui lima peringkat utama dalam prosedur permohonan pembangunan tanah.

         i.            Peringkat pertama Permohonan Kelulusan Dasar Pembangunan ataupun kelulusan ubah syarat (di bawah seksyen 124 Kanun Tanah Negara)

Kelulusan dasar adalah di mana pihak berkuasa negeri memberi kelulusan secara dasar terhadap sesuatu cadangan pembangunan setelah pihak berkuasa negeri berpuas hati bahawa cadangan pembangunan tersebut telah mematuhi dasar kerajaan negeri serta rancangan pemajuan bagi kawasan tersebut. Ia juga dapat membantu pemohon mengenalpasti langkah-langkah atau tindakan yang perlu diambil selanjutnya. Pada peringkat kelulusan dasar pembangunan ini, hanya melibatkan proses ubah syarat tanah. Permohonan yang dibuat di Pejabat Tanah Daerah akan melalui pula peringkat-peringkat seperti :
a)      Pejabat Tanah Daerah menerima permohonan untuk ‘ubah syarat’
b)      Pejabat Tanah Daerah akan membuat laporan penuh mengenai tanah pemohon
c)       Pejabat Tanag Daerah akan merujukkan permohonan kepada jabatan-jabatan berkaitan
d)      Pejabat Tanah Daerah menyedia dan mengemukakan laporan untuk pertimbangan pihak berkuasa negeri
e)      Menyampaikan keputusan permohonan kepada pemohon
f)       Penyediaan memorandum untuk tindakan pihak berkuasa pendaftaran berkenaan
g)      Membuat catitan, pembatalan atau kemasukan di dalam dokumen hakmilik

       ii.            Peringkat kedua ialah permohonan kebenaran merancang (di bawah seksyen 21(1) Akta 172)

Setelah kelulusan dasar pembangunan diperolehi,pemohon dikehendaki mengemukakan permohonannya kepada pihak berkuasa perancang tempatan untuk mendapatkan kebenaran merancang. Permohonan kebenaran merancang dibuat mengikut cara yang ditentukan di dalam kaedah-kaedah pengawalan perancangan (Am) Akta 172. Maklumat serta dokumen-dokumen yang perlu disertakan berbeza-beza mengikut pihak berkuasa perancang tempatan.

      iii.            Peringkat ketiga ialah permohonan pecah sempadan / penyatuan / pecah bahagi (di bawah seksyen 136 Kanun Tanah Negara)

Setelah kelulusan kebenaran merancang diberi oleh pihak berkuasa perancang tempatan, permohonan berkaitan seterusnya akan dibawa ke Pejabat Tanah Daerah untuk mendapatkan kelulusan muktamad ubah syarat dan kelulusan pecah sempadan. Pemohon perlu menyediakan pelan prahitungan oleh Juruukur tanah berlesen berdasarkan kepada pelan susunatur yang telah diperakukan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Pejabat Tanag Daerah akan menyediakan satu laporan berkenaan permohonan berkaitan untuk dihantar kepada Pengarah Tanah dan Galian dan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Disini Pihak Berkuasa Perancangan Negeri akan meneliti setiap permohonan bagi mendapatkan kelulusan

     iv.            Peringkat keempat ialah permohonan kelulusan pelan bangunan (di bawah seksyen 70 Akta 133)

Sebelum kerja-kerja pendirian bangunan dimulakan, kelulusan pelan bangunan perlulah terlebih dahulu diperolehi bagi memastikan bangunan yang didirikan adalah mematuhi piawaian dan garis panduan yang telah ditetapkan. Di peringkat ini permohonan hendaklah dihantar ke Jabatan Bangunan pihakberkuasa tempatan. Seperti juga permohonan kebenaran merancang. Permohonan kelulusan pelan bangunan juga perlu dirujuk ke jabatan-jabatan teknikal untuk mendapatkan ulasan dan perakuannya. Pihak berkuasa tempatan akan mempertimbangkan ulasan dan perakuan dari jabatan-jabatan teknikal yang telah dirujuk dan membawa permohonan berkenaan ke Mesyuarat Majlis Penuh Pihak Berkuasa Tempatan untuk dipertimbangkan. Pihakberkuasa tempatan seterusnya memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Penuh kepada pemohon.

       v.            Peringkat kelima berkenaan permohonan kelulusan sijil kelayakan menduduki (di bawah undang-undang kecil 27, Undang-undang kecil bangunan seragam 1984)

Setelah kelulusan pelan bangunan diperolehi, pemohon dikehendaki membuat permohonan untuk kelulusan sijil kelakan menduduki. Kelulusan ini adalah perlu bagi memastikan sesuatu bangunan yang telah dibina adalah diperakui selamat oleh pihakberkuasa tempatan untuk digunapakai dan diduduki. Kelulusan ini adalah diperlukan bagi apa jua jenis bangunan seperti yang telah ditetapkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Kelulusan sijil kelayakan menduduki akan diberikan setelah pihakberkuasa tempatan berpuashati dengan bangunan yang didirikan dan mendapat perakuan daripada jabatan-jabatan teknikal yang dirujuk. 

Kesimpulannya, dalam setiap peringkat ini jelaslah bahawa peranan pihak berkuasa  negeri ini sangat penting dan mereka ini mempunyai kuasa dalam memberi kelulusan sesuatu permohonan kebenaran merancang. Dengan adanya majlis pihak berkuasa negeri ini perancangan sesebuah negeri khususnya dapat dipantau supaya seimbang. Hal demikian kerana setiap daerah mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri dan mereka ini juga mempunyai syarat-syarat atau kaedah mereka sendiri. Oleh itu, pihak berkuasa negerilah yang akan menyeragamkan perlaksanaan pembangunan bagi negeri masing-masing. Maka nanti tidak timbul pula masalah ketidakseimbangan pembangunan atau kelestarian pembangunan. Penerimaan pembangunan nasional yang berimpak besar juga akan dilaksanan oleh pihak berkuasa negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi memastikan hasrat kerajaan persekutuan untuk memajukan negara  Malaysia.

No comments:

Post a Comment